TIPS PENULISAN UPSR




PANDUAN MENULIS KARANGAN UPSR
Dalam peperiksaan, sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :
A. Pengenalan
B. Isi-isi dan
C. Penutup

A. Pengenalan
Setiap karangan mestilah mempunyai perenggan pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu.

Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam kepada pemeriksa.


 B. Isi
Isi hendaklah mengikut kehendak soalan. Dalam UPSR, biasanya setiap karangan memerlukan empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait antara satu dengan lain.

Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Murid-murid digalakkan menulis satu isi, satu perenggan. Setiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain.

Jaga isinya supaya tidak terkeluar daripada tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Mengapa pelajar cemerlang mendapat banyak isi ? Ini kerana mereka banyak membaca. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri.
 
 
Cara terbaik mencari isi adalah dengan menggunakan kaedah membuat peta minda. Kemukakan pertanyaan kepada diri anda dan fikirkan jawapannya. Gunakan kata tanya
  • Apa        ( contoh : Apa program yang dijalankan ?)
  • Siapa      ( contoh, siapa yang merasmikan program itu ?)
  • Bila         ( contoh, bila program itu diadakan ?)
  • Mengapa ( contoh, mengapa program itu diadakan?)
  • Di mana  ( contoh, di mana program itu berlangsung?)
C. Penutup
Penutupnya adalah kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup boleh digambarkan  pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Boleh masukkan perasaan atau harapan.Contoh, semua peserta berasa gembira dan berpuas hati dengan keadaan sekolah setelah tamatnya aktiviti gotong-royong itu. Kami berharap aktiviti seumpama ini akan dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

Juga boleh dimuatkan nilai-nilai yang sesuai. Contohnya, aku bersyukur kerana kawanku akhirnya selamat. Ibub bapanya mengucapkan terima kasih kepadaku kerana telah membantu anak mereka.Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. 
Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.


Anda Ingin Menulis Karangan Syarahan ?

~ Syarahan merupakan karangan yang memerlukan kemahiran berhujah, daya dan kematangan berfikir.
~ Bahasa yang digunakan mestilah tepat
~ Hujah-hujah mestilah bernas dan mudah difahami.
~ Syarahan disampaikan dalam majlis pertandingan.
~ Mempunyai format tertentu, iaitu pembukaan dengan kata-kata aluan mengikut tahap hadirin.
~ Penutup mesti menarik dan meyakinkan pendengar atau pembaca.
~ Gunakan kata-kata yang bertatasusila dan kata-kata perangsang kepada hadirin.

APA YANG PERLU IALAH.....
1. Mesti memahami keadaan majlis seperti yang dikehendaki soalan.
2. Cari isi-isi penting berkaitan dengan tajuk.
3. Gunakan kata alu-aluan yang betul.
4. Dalam perenggan pertama, huraikan maksud tajuk.
5. Kemudian, perenggan seterusnya kemukakan hujah-hujah yang bernas.
6. Gunakan bahasa kiasan atau peribahasa supaya hujah lebih menarik.
7. Diakhiri dengan penutup penghargaan, penegasan, ucapan salam dan terima kasih.

8. Panjang karangan (UPSR) hendaklah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.







Anda Ingin Menulis Karangan Catatan


TIP PENULISAN BERKESAN

• Karangan jenis catatan harian ini ialah catatan penulis tentang peristiwa yang dialami atau dilalui oleh penulis.

• Catatan Harian dikenali juga sebagai diari.

• Terbahagi kepada dua bentuk , itu catatan sehari dan catatan beberapa hari.

• Jika sehari, sertakan haribulan , hari , dan waktu berlakunya sesuatu aktiviti atau peristiwa.

• Jika catatan beberapa hari, sertakan hari, haribulan, dan waktu jika perlu.

• Waktu peristiwa atau aktiviti yang dicatat merupakan perkara penting yang berkaitan dengan tajuk.

• Cara penulisan karangan jenis catatan ini seperti sebuah cerita. Urutan peristiwa atau aktiviti perlu disesun agar menimbulkan daya tarikan untuk mengetahui peristiwa selanjutnya.





KARANGAN UPSR : Anda Ingin Menulis Karangan Fakta ??

Karangan Fakta adalah merupakan antara karangan yang 'famous' dalam UPSR. Karangan jenis ini tergolong dalam karangan tidak berformat.

Untuk menghasilkan karanga fakta yang baik perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian:
 Anda perlu mempunyai pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang
~   Sebelum menulis, anda mestilah memastikan bahawa anda mempunyai fakta-fakta yang cukup tentang tajuk yang dikemukakan.
~  Isi atau fakta yang diberikan perlu lengkap, tersusun , dan menepati kehendak soalan 
~  Cara penyampaiannya mestilah ringkas serta menggunakan ayat dan kata yang mudah difahami
~  Karangan mestilah merangkumi perenggan pendahuluan, isi dan penutup.
~  Bagi perenggan pendahuluan, mestilah mengandungi definasi atau penerangan tentang tajuk     yang diberi.
~  Untuk perenggan isi pula, sekurang-kurangnya carilah 4 isi penting. Ianyan mestilah tepat dan bukan rekaan penulis semata-mata. Untuk memperkukuhkan isi, maka perlu disusuli dengan huraian serta contoh. 
~ Bagi perenggan penutup pula, berikan pendapat tentan perkara yang ditulis.






KARANGAN UPSR : Anda Ingin Menulis Karangan Berita

~ Karangan berita memerlukan fakta atau maklumat tentang sesuatu kejadian seperti kemalangan, kebakaran dan sebagainya.
~ Maklumat dalam kandungan berita seharusnya menjawab persoalan
   Apa? Siapa? Bila? Di mana?, dan Mengapa?
~ Penulisan berita perlu mengikut suatu format khusus ;
    a) Dimulakan dengan menulis nama tempat di sebelah kiri dengan huruf besar, diletakkan tanda koma, diikuti dengan hari atau tarikh serta  tanda sempang sebelum perenggan yang pertama.
    Contoh : SIMPANG AMPAT , Sabtu -

~ Isi berita yang paling penting haruslah didahulukan, manakala isi berita yang kurang penting dikemudiankan . 
~Bahasa yang digunakan dalam penulisan berita haruslah mudah dan padat. Elakkan daripada menggunakan ayat yang panjang atau meleret-leret.
~ Maklumat-maklumat untuk penulisan sesebuah berita boleh dikumpul melalui pembacaan, pemerhatian dan wawancara 
~Semasa menulis karangan berita,anda harus mengingat enam persoalan, iaitu apa, siapa, bila, di mana, mengapa, dan bagaimana . 
* Apa ?  
~ Menerangkan peristiwa yang berlaku dan menjadi tema atau inti berita.Memberi maklumat utama kepada keseluruhan berita. 
* Bila ? 
~ Menerangkan masa sesuatu peristiwa itu berlaku.Tarikh dan hari kejadian berlaku perlu ditulis dengan jelas.Dalam berita-berita jenayah dan kemalangan, waktu peristiwa berlaku perlu ditulis juga.
* Di mana ? 
~ Menerangkan nama tempat di mana berlakunya sesuatu peristiwa. Jika terdapat nama-nama tempat yang tidak diketahui umum, alamat tempat itu hendaklah ditulis dengan penuh.
* Siapa ? 
~ Nama-nama yang terlibat dalam peristiwa itu mestilah jelas. Nama perlu ditulis dengan lengkap dan penjelasan atau gelaran yang menerangkan siapa perlu ada. Nama penuh , gelaran juga perlu ditulis. Adakalanya umur juga perluditulis .
* Mengapa ? 
~ mengandungi sebab-sebab peristiwa itu berlaku. Sekiranya sebab-sebab yang tidak diketahui hendaklah ditulis sebagai ‘belum diketahui’ atau ‘belum ada bukti’.
* Bagaimana? 
~ menerangkan cara peristiwa itu berlaku dan urutan perkembangan sesuatu peristiwa.

1 ulasan: